Khamis, 8 Disember 2011

Gerhana bulan penuh esok

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis - Orang ramai di negara ini berpeluang menyaksikan kejadian gerhana penuh pada Sabtu ini, 15 Muharam 1433H bersamaan 10 Disember 2011, apabila bulan melintasi belakang bumi di mana bumi menghalang cahaya matahari daripada menyinari bulan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama di sini hari ini, kejadian gerhana itu akan berlaku selama 6 jam 4 minit manakala kemuncaknya ialah selama 52 minit.
Waktu gerhana terjadi pada jam 7.34 malam (bermula penumbra), 10.19 malam (bermula umbra), 10.11 malam (kemuncak), 11.00 malam (berakhir umbra) dan 1.30 pagi (berakhir penumbra).
Sehubungan itu, sembahyang sunat gerhana bulan akan diadakan pada hari Sabtu ini selepas solat fardhu Isyak berjemaah di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara. Orang ramai dialu-alukan untuk sama-sama menunaikan sembahyang sunat gerhana bulan tersebut di masjid, surau dan balai ibadat berhampiran.

-Media Permata. Jumaat, 09 Disember 2011.